Friday, September 26, 2008

Perutusan Aidilfitri oleh Pengerusi KRTDA


Assalamualaikum warahmatullah,

Saya, Mejar (B) Jamian Bin Jumi, selaku Pengerusi KRTDa merangkap Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Anggerik ingin mengambil kesempatan ini sebagai mewakili seluruh Ahli Jawatan Kuasa KRTDA untuk menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam yang bermastautin di Desa Anggerik, Putra Nilai. Kami juga ingin memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan yang telah kami lakukan sepanjang menjalankan tugas kami selaku AJK. Kepada yang pulang ke kampung untuk menyambut lebaran ini, di ucapkan agar sentiasa berhati-hati di dalam perjalanan. Rancanglah terlebih dahulu perjalanan anda, semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju. Insya-Allah kita akan berjumpa semula selepas hari raya nanti. Dan sekali lagi saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN.





Majlis Khatam Quran & Penyampaian Cenderahati







Pada 25 September yang lalu, Surau Desa Anggerik telah mengadakan Majlis Khatam Quran Ramadhan 1429H. Majlis dimulakan dengan program berbuka puasa di mana bubur lambuk menjadi hidangan yang disediakan oleh Jiranita pada petangnya.



Majlis khatam Quran dimulakan selepas selesai solat terawih. turut diadakan majlis tahlil dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada imam dan bilal yang terdiri daripada pelajar USIM serta peserta tadarus yang turut disertai oleh penghuni Desa Anggerik.

Sunday, September 21, 2008

Demam Denggi melanda Desa Anggerik






Kebelakangan ini, KRTDA mendapati bahawa penyakit demam denggi kembali menular di Desa Anggerik. Sepanjang Ramadhan ini sahaja, kita dapat lihat betapa pihak Kementerian Kesihatan giat melakukan semburan asap sekalipun pada waktu malam bagi membasmi nyamuk aedes. Pihak KRTDA juga menerima maklumat beberapa penghuni telahpun dimasukkan ke hospital kerana diserang demam denggi termasuk beberapa pelajar USIM. Sehubungan dengan itu, KRTDA ingin menasihatkan penghuni agar terus memastikan tiada air bertakung di sekitar rumah masing-masing. Hanya 5 minit masa yang diperlukan untuk kita memastikan tiada air bertakung atau membersihkan bekas takungan air di sekitar rumah kita. Aedes..cegah sebelum kita diserang demam denggi. Maklumat lanjut layari http://www.infosihat.gov.my/Penyakit_Denggi_p1.html.

KRTDA anjur Majlis Berbuka Puasa




KRTDA akan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa pada 25 September ini yang akan diadakan di Surau Desa Anggerik-SDA (gambar), turut berlangsung adalah Majlis Khatam Quran yang akan dilakukan pada malamnya selepas solat Terawih. Menu Majlis berbuka puasa adalah bubur lambuk yang akan dimasak pada petangnya. Sementara Majlis Khatam Quran akan disertai oleh ahli kariah yang terdiri dari penghuni Desa Anggerik dan Pelajar USIM. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi KTRDA adalah antara yang menyertai program Tadarus Quran ini yang dianjurkan oleh SDA setiap kali menjelang Ramadhan.
Sementara itu, pada 9 september yang lalu, Jiranita juga telah mengadakan aktiviti sempena Ramadhan dengan memasak dan mengedarkan bubur lambuk untuk sajian berbuka puasa. keenakkan bubur yang disediakan ternyata mendapat pujian ramai pihak. Di harap bubur lambuk yang bakal disediakan pada 25 september ini juga tidak menghampakan...

SDA Anjur Majlis Berbuka Puasa



Pada 13 Septembar lalu, Surau Desa Anggerik telah menganjurkan Majlis gotong-royang dan berbuka puasa. SDA memerima 2 ekor kambing 'boer' yang didermakan oleh Tuan Hj Rahim. Gotong-royong bermula jam 11.00 pagi dan proses memasak dilakukan selepas solat zohor.


Turut hadir adalah kumpulam muslimat yang mengendalikan proses memasak yang diketuai oleh Puan Syarifah (atau Kak Pah) isteri kepada Pengerusi SDA. Selain kambing, ayam turut dijadikan lauk sampingan. Proses memasak selesai menjelang asar dan proses pembungkusan makanan dilakukan selepas itu. Majlis berbuka puasa turut diadakan di SDA dan menerima sambutan yang amat menggalakkan.



Dalam pada itu, SDA juga menerima karpet sumbangan dari sebuah Surau di Sungai Besi. Karpet tersebut turut dipasang pada hari berkenaan oleh ahli kariah yang hadir di bantu oleh pekerja Pak Akob. Karpet tersebut berjaya melitupi hampir keseluruhan surau dan sekaligus menambahkan keselesaan jemaah melakukan ibadah di bulan ramadhan ini.

Thursday, September 4, 2008

Terima Kasih Yang Tak Terhingga...



Sempena menyambut Ramadhan 1429H, pihak AJK Surau Desa Anggerik dengan ini secara rasminya ingin merakamkan ucapan jutaan Terima Kasih yang tidak terhingga kepada semua dermawan yang budiman yang telah sudi menyumbangkan wang ringgit dalam menjayakan kerja-kerja pengubahsuaian Surau Desa Anggerik. Begitu juga dengan ahli kariah yang bertungkus-lumus dalam menjayakan gotong-royong sempena Ramadhan pada 31 Ogos lalu. Diharapkan agar kerjasama ini akan berterusan pada masa akan datang.... Terima Kasih. Semoga usaha murni kita semua diganjari Allah SWT, hendaknya...Amin.

Salam Ramadhan1429H



Seluruh AJK KRTDA mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh umat Islam khususnya penghuni Desa Anggerik, Putra Nilai. Semoga ibadat kita dalam bulan Ramadhan tahun ini akan lebih mendapat keredhaan di sisi Allah, lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Selamat Berpuasa!