Majlis Sambutan Aidilfitri 2009 (KRT & SDA) dan Mesyuarat Agong Pemilihan AJK KRTDA bagi penggal 2010-2011 telah berlangsung dengan jayanya pada 11 Oktober yang lalu. Majlis yang diadakan sedikit lewat dari jadual asal berlangsung dalam keadaan hujan renyai-renyai, walau tanpa kehadiran jemputan khas seperti Pegawai Jabatan Perpaduan, YDP MPN dan Ketua Balai Polis Nilai.
Di fahamkan mereka terlibat secara langsung dengan Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Port Dickson yang mana hari tersebut telah dipilih sebagai Hari Pembuangan Undi oleh SPR.
Majlis yang dipengerusikan oleh Cikgu Mokhtar dimulakan dengan bacaan doa oleh Tuan Haji Ameer Bin Mansor dan kemudiannya majlis sebulat suara memilih semula Mejar (B) Jamian Bin Jumi sebagai Pengerusi untuk penggal 2010-2011. Majlis juga bersetuju menyerahkan kepada beliau untuk memilih barisan AJKnya bagi penggal berkenaan untuk membentuk pasukan yang serasi dan boleh bekerjasama dengan baik tanpa konflik.
Dalam ucapannya, Pengerusi Baru KRTDA menyentuh beberapa aspek, mengimbas kembali peristiwa dan perkara yang berlaku sepanjang pentadbirannya yang lalu, dan mengharapkan agar AJK yang akan dipilih nanti mampu membentuk pasukan yang lebih mantap dan sanggup bekerjasama secara sukarela.
Pengerusi Surau Desa Anggerik turut menyampaikan ucapan ringkas selepas itu, Majlis kemudian diikuti dengan jamuan makan, di mana pelbagai juadah disediakan oleh Saadiah Katering ternyata menambat hati hadirin yang datang. Kepada bakal AJK yang dipilih, SELAMAT MENJALANKAN TUGAS DENGAN PENUH DEDIKASI UNTUK DESA ANGGERIK!
Salam Aidilfitri 1430H, Maaf Zahir Batin
No comments:
Post a Comment