Monday, March 21, 2011

Anggota SRS digalak guna radio atur bantu cegah jenayah

KOTA BHARU: Anggota Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) digalakkan menggunakan radio atur bagi membantu pasukan keselamatan mencegah kejadian jenayah di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kelantan, Abdul Hadi Salleh, berkata ini kerana penggunaaan alat itu berkesan bagi mengawal kejadian jenayah, terutama kecurian kenderaan sejak kebelakangan ini.
"Kita menggalakkan semua anggota SRS yang berdaftar di negeri ini menggunakan radio atur kerana ia didapati berkesan bagi membantu pihak keselamatan dalam usaha mencegah jenayah," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, M Murugiah, memuji usaha KRT di Kelantan yang pertama memperkenalkan penggunaan radio atur di kalangan anggota SRS bagi membantu pasukan keselamatan mencegah jenayah.

Katanya, setakat ini, jabatan itu tidak menyediakan peralatan komunikasi itu secukupnya kepada anggota SRS di seluruh negeri kerana masalah peruntukan.

Kebanyakan anggota SRS membeli sendiri alat itu atas inisiatif pertubuhan terbabit di negeri ini sejak beberapa tahun lepas dan ternyata berkesan, kata beliau.

Ketika ini lebih 400 daripada kira-kira 5,000 KRT di seluruh negeri mendaftar sebagai anggota SRS. - BERNAMA


No comments: