Tuesday, July 12, 2011

Pekerja swasta ronda malam dapat pelepasan kerja

 KOTA KINABALU 18 Jun – Pekerja sektor swasta yang menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan Rukun Tetangga masing-masing bakal diberikan pelepasan kerja pada hari berikutnya.
Pengarah Pengurusan Perpaduan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim berkata, pada masa ini pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan pihak swasta bagi melaksanakan perkara itu.
“Pada peringkat awal ini masing-masing pihak bersetuju kerana ia tanggungjawab bersama untuk mencegah jenayah, cuma kita tengah tengok mekanisme pelaksanaannya.
“Jadi kita harap dalam hujung tahun ini kita dapat melaksanakan perkara itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Mari Meronda Bersama SRS Bagus Bah peringkat negeri di Dewan Rakan Muda Kompleks Belia dan Sukan Putatan di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah JPNIN negeri, Nurul Akmalina Shamsuddin; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Senior Asisten Komisioner Tan Kok Liang; Pengarah Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) negeri, Samasuddin Lawe dan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) negeri, Mulliadi Al Hamdi Ladin.
Menurut Zulkifli, pada masa ini pihaknya sedang giat mengadakan rundingan dengan Persatuan Majikan Malaysia, Persatuan Pengilang Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kementerian Kewangan.
Katanya, sekiranya berjaya dilaksanakan kerajaan akan memberi insentif pelepasan cukai kepada majikan yang memberi pelepasan kerja kepada pekerjanya yang melakukan rondaan.
“Pengiraan itu sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan dengan bantuan Persatuan Majikan Malaysia dan Persatuan Pengilang Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pada masa ini pihak Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan pekeliling supaya penjawat awam yang bertugas dalam tempoh empat jam sebulan dalam SRS diberi pelepasan cuti.
“Jadi perkara ini dicemburui oleh pihak swasta kerana mereka juga meronda tetapi tidak mendapat peluang tersebut,” ujarnya.

ARKIB : 19/06/2011

No comments: