Tuesday, August 5, 2008

Bahang Kejohanan Badminton Kian Terasa



Kejohanan Badminton Terbuka KRTDA 2008 kini tinggal kurang 2 minggu. Penduduk Desa Anggerik yang telah mendaftar sebagai peserta kejohanan badminton dilihat mula berlatih meningkatkan stamina dan skil individu masing-masing untuk menghadapi kejohanan badminton buat julung-julung kali diadakan.

Kelmarin (4 Ogos 2008) bertempat di Dewan MPN, bermula jam 10.00 malam, kira-kira 20 orang penghuni Desa Anggerik dan pelajar USIM berkumpul untuk membuat latihan badminton secara beregu, untuk menggilap semula bakat dan skil yang hampir 'berkarat' dek zaman. Latihan bebas yang berakhir jam 12.00 tengah malam itu menunjukkan usia bukan penghalang, sekaligus menjadi asas ukuran bagi kejohanan sebenar nanti.

Bagi peserta kategori Lelaki Senior misalnya, latihan malam kelmarin membuktikan sentuhan mereka masih berbisa sekaligus melaungkan amaran agar kategori mereka nanti tidak dipandang sebelah mata. Chef Kadir umpamanya, mampu membuatkan lawannya berlari ke segenap gelanggang untuk mengembalikan bulu tangkis. Jelas, beliau bukan sahaja pakar di dapur, tetapi gerakan tangan yang mengenggam senduk dan sudip sesekali membuatkan lawan tercungap kepenatan, begitu juga En. Jamil, Haji Rahim, Pak Akob dan En. Abu.
Hakikatnya, kejohanan badminton pada 24 Ogos nanti adalah gelanggang yang sesuai untuk menguji dan melihat siapakah individu yang sebenarnya selama ini menyembunyikan skil badminton kerana peserta kategori Lelaki (bawah 40 tahun) yang berlatih juga tidak kurang hebatnya. Mereka yang beraksi malam tadi adalah, En. Mukhlis, En, Zaki, En. Zahari, En. Faiz, En. Sharif, Cikgu Alwi. En. Shashila, Pak Ya, En. Azman, dan beberapa lagi peserta termasuk pelajar USIM. Nantikan latihan bebas seterusnya yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian.

No comments: