Tuesday, January 6, 2009

Israel Semakin Ganas




BANDAR RAYA GAZA: Israel didakwa menggunakan bahan kimia penuh kontroversi fosforus putih dalam bedilan bom ke atas sasaran di tengah Gaza, ketika tenteranya mula mengepung bandar terbesar kawasan Palestin dikuasai Hamas berkenaan semalam. Bahan kimia itu tidak diharamkan badan dunia jika digunakan sebagai lindungan asap tetapi amat kontroversi kerana ia menyebabkan kulit terbakar.

Penggunaan bahan kimia ke atas kawasan kepadatan tinggi penduduk seperti semenanjung Gaza, menambah lagi kecaman ke atas Tel Aviv yang dituduh bertindak melampaui batas terhadap roket dilancar Hamas ke atas kawasan diduduki oleh Yahudi. Ketika tentera Israel mengetatkan kepungan ke atas Bandaraya Gaza, asap tebal kimia fosporus putih itu kelihatan melindungi kemaraan tentera rejim Zionis itu, menurut laporan online akhbar Britain, The Times, semalam. "Letupan bahan kimia ini hebat diperhatikan kerana ia membentuk asap tebal yang menyukarkan penglihatan musuh kami, sekali gus membenarkan askar masuk kawasan mereka," kata seorang pakar keselamatan Israel.

Asap tebal fosporus itu menyebabkan kecederaan kepada sesiapa yang diselubungi dengannya dan penembak akan dapat menjalankan tugas, di samping bom kawalan jauh dapat digerakkan ke kawasan musuh.

Walaupun Perjanjian Geneva 1980 menetapkan fosporus putih tidak harus digunakan sebagai senjata di kawasan awam ia tidak mengharamkan penggunaan bahan kimia itu sebagai pelindung asap atau untuk mencerahkan kawasan operasi. Bagaimanapun seorang pakar keselamatan dan bekas pegawai tentera Britain, Charles Heyman berkata: "Jika fosporus putih sengaja dilancarkan ke atas kawasan awam yang padat, mereka yang bertanggung jawab boleh didakwa di mahkamah jenayah antarabangsa di The Hague," katanya.

Tentera Israel semalam menafikan menggunakan bahan kimia itu tetapi tidak mendedahkan kimia yang digunakannya dalam menyerang Gaza yang mempunyai 1.5 juta penduduk itu.
Menurut badan perubatan Gaza, 530 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 87 kanak-kanak dan hampir 2,000 cedera sejak Israel melancarkan serangan ke atas wilayah Palestin itu 27 Disember lalu. Di pihak Israel pula, seorang tentera terbunuh dan 55 cedera. – Agensi

No comments: