Tuesday, December 30, 2008

Kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan



Seluruh Penduduk Desa Anggerik khususnya dan Rakyat Negeri Sembilan amnya berasa dukacita di atas kemangkatan Ke bawah Duli Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus pada 27 Disember lalu, kira-kira jam 11.45 pagi di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban setelah baginda mengadu sakit dada pada pagi tersebut.

Almarhum baginda terkenal dalam kalangan rakyat jelata sebagai seorang pemerintah yang baik dan prihatin di samping aktif dalam bidang sukan. Rakyat keseluruhannya merasa kehilangan besar di atas kemangkatan baginda, dan pihak KRTDA mengucapkan salam takziah kepada kerabat baginda keseluruhannya.

Upacara Pemakaman telah dilangsungkan pada 29 Disember setelah pemahsyuran Tunku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11 (gambar). Daulat Tuanku!

Wednesday, December 17, 2008

'Blackout' di Desa Anggerik

DESA Anggerik bergelap kerana terputus bekalan elektrik dua hari berturut-turut iaitu dari jam 11.00 malam 16 Disember hingga 4.00 pagi keesokan harinya. Dan pada tarikh 17 Disember pula, kira-kira jam 9.30 malam, sekali lagi penduduk Desa Anggerik terpaksa bergelap kerana masalah sama. Keadaan masih belum berubah semasa artikel ini ditulis. Dan sehingga kini, pihak TNB masih belum memberi sebarang notis atau pemberitahuan berkenaan masalah gangguan elektrik di Desa Anggerik.

Apa yang menghairankan, hanya taman Desa Anggerik yang menghadapi masalah gangguan bekalan elektrik, tidak taman-taman bersebelahan. Sehubungan dengan itu, KRTDA ingin menasihatkan penghuni melakukan persediaan tertentu seperti menyediakan lampu suluh atau lilin bagi menghadapi masalah berkenaan yang berkemungkinan akan berulang pada masa akan datang.

Penduduk juga dinasihatkan agar berhati-hati apabila menyalakan lilin/pelita, dengan meletakkan sebarang sumber api berjauhan dengan barang yang mudah terbakar. Pintu dan tingkap juga mestilah dikunci bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Elakkan tragedi semasa di dalam kesulitan.

Monday, December 15, 2008

Mesyuarat KRTDA

NOTIS


Satu mesyuarat KRTDA kali ke-4 akan diadakan bagi membincangkan perkara berbangkit dan program yang akan diadakan tahun hadapan, 2009. Berikut adalah maklumat yang berkaitan perjumpaan tersebut:


Tarikh : 25 Disember 2008


Masa : 9.00 malam


Tempat : Surau Desa Anggerik


Semua AJK dan Penghuni dijemput hadir. Terima Kasih.

Sunday, December 14, 2008

Kursus Pemantapan Solat




Jiranita Kawasan Rukun Tetangga Desa Anggerik (KRTDA) bakal menganjurkan satu program keagamaan khusus untuk anak-anak penghuni Desa Anggerik tidak lama lagi. Program yang di kenali sebagai Kursus Pemantapan Solat bakal diadakan dalam masa cuti persekolahan ini. Berikut adalah maklumat yang berkaitan dengan program tersebut:


Tarikh : 18 Disember 2008

Masa : 9.00 pagi hingga 5.00 petang

Hari : Khamis

Tempat : Surau Desa Anggerik

Kursus ini akan dibimbing oleh Ustaz Helmi dan penyertaan adalah percuma. Penyertaan dibuka kepada kanak-kanak berumur 6-15 tahun. Penghuni yang berminat untuk menghantar anak mereka diminta menghubungi Ahli Jiranita, atau terus datang pada hari berkenaan untuk pendaftaran.

Friday, December 5, 2008

Perlawanan Persahabatan Bola Tampar

Pihak KRTDA baru-baru ini telah dijemput untuk menghadiri satu perlawanan persahabatan bola tampar di Bandar Seremban Selatan. Jemputan oleh KRT tersebut telah dipersetujui Pengerusi KRTDA, Mejar (B) Jamian Bin Jumi. Berikut adalah maklumat yang berkaitan:

Tarikh : 14 Disembar 2008
Hari : Ahad
Masa : 9.00 Pagi
Tempat : Kompleks Sukan Bandar Seremban Selatan

Semua pemain diminta bersedia dan di harap dapat menghadirkan diri. Sila rujuk papan kenyataan atau menghubungi jurulatih (Cikgu Mokhtar), atau Kapten Pasukan (EN. Sharif) untuk maklumat lanjut.
Sementara itu, Kejohanan Bola Tampar KRT Daerah Seremban Selatan yang dijadualkan berlangsung pada Bulan Disembar ini, akan diadakan pada 1 Februari 2009. Semua pemain diharap dapat hadir untuk sessi latihan pada setiap Ahad jam 8.30 pagi di perkarangan Surau Desa Anggerik.

Monday, November 24, 2008

Program Qurban 1429H



Seperti kelaziman Surau Desa Anggerik (SDA), akan menganjurkan program Qurban yang akan diadakan pada pagi 10 Zulhijjah. Acara dijangka bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir menjelang Asar. Ini termasuk menyembelih lembu (pada tahun ini sebanyak 3 ekor lembu), menyiang, pengagihan serta memasak untuk jamuan makan.
Sehubungan dengan itu, pihak SDA ingin menjemput seluruh penghuni Desa Anggerik yang tidak pulang ke kampung untuk turut serta menjayakan program tersebut. Kupon bagi mendapatkan daging korban akan diedarkan tidak lama lagi. Sambutan bermula pada malam 10 Zulhijjah (dijangka 7 Disember 2008), di mana takbir dari rumah ke rumah akan dijalankan. Sebarang maklumat lanjut sila rujuk papan kenyataan SDA.

Sunday, November 2, 2008

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri/Deepavali Desa Anggerik 2008 Meriah

AHAD, 2 Nov 2008-bertempat di hadapan Bilik Gerakan KRTDA, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri/Deepavali 2008 diadakan dalam suasana sederhana tetapi meriah. Penghuni Desa Anggerik mula berkumpul sejak 9.00 pagi bergembira menikmati pelbagai juadah yang disediakan. Majils yang bermula jam 10.30 pagi didahului dengan bacaan doa oleh Tn. Hj Amer Mansor diikuti dengan ucapan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Desa Anggerik (KRTDA), Mej (B) Jamian Bin Jumi. Pengerusi Surau Desa Anggerik (SDA), Tuan Syed Md Nor. Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat berbilang bangsa termasuk penuntut USIM ternyata memeriahkan majlis. Turut hadir beberapa tetamu jemputan termasuk Imam 1 Masjid Putra Nilai, Ustaz Mazlan. Sambutan ini adalah di antara acara tahunan di dalam kalendar aktiviti KRTDA di mana pada tahun ini KRTDA berkolibrasi dengan SDA dalam menjayakan majlis sambutan. Sungguhpun bulan Syawal telahpun berlalu, tetapi kemeriahan tetap dirasai lebih-lebih lagi, perayaan Deepavali masih disambut oleh penganut agama Hindu. Tahniah & Syabas kepada semua yang terlibat!

Wednesday, October 29, 2008

Rumah Terbuka Aidilfitri Desa Anggerik 2008


KAWASAN RUKUN TETANGGA DESA ANGGERIK (KRTDA) dan SURAU DESA ANGGERIK (SDA) akan mengadakan Majlis Sambutan Aidilfitri 2008 secara bersama pada
Tarikh : 2 Nov 2008
Hari : Ahad
Tempat : Hadapan Bilik Gerakan KRTDA
Masa : 10.00 AM~12.00PM
Sehubungan dengan itu, semua penghuni Desa Anggerik adalah dijemput hadir untuk menikmati juadah istimewa sambil memeriahkan lagi majlis...

Monday, October 27, 2008

RALAT

Biro Penerangan KRTDA memohon maaf di atas kesilapan artikel yang terdahulu. Kejohanan Bola Tampar KRT yang di jadualkan pada 26 Oktober lalu, bukan di bawah kelolaan atau anjuran Jabatan Perpaduan Seremban tetapi dianjurkan oleh pihak KRT lain yang turut berada dalam Zon Seremban Selatan. Pihak Biro Penerangan memohon maaf di atas kesilapan fakta. Harap maklum

Sunday, October 26, 2008

Pertandingan Bola Tampar ditangguh


Kejohanan Bola Tampar Rukun Tetangga bagi Kawasan Seremban Selatan yang dijadualkan pada 26 Oktober telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, demikian menurut satu kenyataan yang diedarkan oleh Jabatan Perpaduan Daerah Seremban.
Menurut sumber tertentu, pertandingan tersebut berkemungkinan akan diadakan dalam bulan Disember 2008. KTRDA yang telah pun mencari pemain dan siap sedia bertanding terpaksa menerima keputusan berkenaan yang dikatakan berpunca kurangnya sambutan dari pihak tertentu. Apa pun, diharapkan pemain yang terpilih bersabar dan terus menjalankan latihan bagi menghadapi kejohanan tersebut.

Friday, September 26, 2008

Perutusan Aidilfitri oleh Pengerusi KRTDA


Assalamualaikum warahmatullah,

Saya, Mejar (B) Jamian Bin Jumi, selaku Pengerusi KRTDa merangkap Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Anggerik ingin mengambil kesempatan ini sebagai mewakili seluruh Ahli Jawatan Kuasa KRTDA untuk menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam yang bermastautin di Desa Anggerik, Putra Nilai. Kami juga ingin memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kesilapan dan kesalahan yang telah kami lakukan sepanjang menjalankan tugas kami selaku AJK. Kepada yang pulang ke kampung untuk menyambut lebaran ini, di ucapkan agar sentiasa berhati-hati di dalam perjalanan. Rancanglah terlebih dahulu perjalanan anda, semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju. Insya-Allah kita akan berjumpa semula selepas hari raya nanti. Dan sekali lagi saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN.





Majlis Khatam Quran & Penyampaian Cenderahati







Pada 25 September yang lalu, Surau Desa Anggerik telah mengadakan Majlis Khatam Quran Ramadhan 1429H. Majlis dimulakan dengan program berbuka puasa di mana bubur lambuk menjadi hidangan yang disediakan oleh Jiranita pada petangnya.



Majlis khatam Quran dimulakan selepas selesai solat terawih. turut diadakan majlis tahlil dan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada imam dan bilal yang terdiri daripada pelajar USIM serta peserta tadarus yang turut disertai oleh penghuni Desa Anggerik.

Sunday, September 21, 2008

Demam Denggi melanda Desa Anggerik






Kebelakangan ini, KRTDA mendapati bahawa penyakit demam denggi kembali menular di Desa Anggerik. Sepanjang Ramadhan ini sahaja, kita dapat lihat betapa pihak Kementerian Kesihatan giat melakukan semburan asap sekalipun pada waktu malam bagi membasmi nyamuk aedes. Pihak KRTDA juga menerima maklumat beberapa penghuni telahpun dimasukkan ke hospital kerana diserang demam denggi termasuk beberapa pelajar USIM. Sehubungan dengan itu, KRTDA ingin menasihatkan penghuni agar terus memastikan tiada air bertakung di sekitar rumah masing-masing. Hanya 5 minit masa yang diperlukan untuk kita memastikan tiada air bertakung atau membersihkan bekas takungan air di sekitar rumah kita. Aedes..cegah sebelum kita diserang demam denggi. Maklumat lanjut layari http://www.infosihat.gov.my/Penyakit_Denggi_p1.html.

KRTDA anjur Majlis Berbuka Puasa




KRTDA akan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa pada 25 September ini yang akan diadakan di Surau Desa Anggerik-SDA (gambar), turut berlangsung adalah Majlis Khatam Quran yang akan dilakukan pada malamnya selepas solat Terawih. Menu Majlis berbuka puasa adalah bubur lambuk yang akan dimasak pada petangnya. Sementara Majlis Khatam Quran akan disertai oleh ahli kariah yang terdiri dari penghuni Desa Anggerik dan Pelajar USIM. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi KTRDA adalah antara yang menyertai program Tadarus Quran ini yang dianjurkan oleh SDA setiap kali menjelang Ramadhan.
Sementara itu, pada 9 september yang lalu, Jiranita juga telah mengadakan aktiviti sempena Ramadhan dengan memasak dan mengedarkan bubur lambuk untuk sajian berbuka puasa. keenakkan bubur yang disediakan ternyata mendapat pujian ramai pihak. Di harap bubur lambuk yang bakal disediakan pada 25 september ini juga tidak menghampakan...

SDA Anjur Majlis Berbuka Puasa



Pada 13 Septembar lalu, Surau Desa Anggerik telah menganjurkan Majlis gotong-royang dan berbuka puasa. SDA memerima 2 ekor kambing 'boer' yang didermakan oleh Tuan Hj Rahim. Gotong-royong bermula jam 11.00 pagi dan proses memasak dilakukan selepas solat zohor.


Turut hadir adalah kumpulam muslimat yang mengendalikan proses memasak yang diketuai oleh Puan Syarifah (atau Kak Pah) isteri kepada Pengerusi SDA. Selain kambing, ayam turut dijadikan lauk sampingan. Proses memasak selesai menjelang asar dan proses pembungkusan makanan dilakukan selepas itu. Majlis berbuka puasa turut diadakan di SDA dan menerima sambutan yang amat menggalakkan.



Dalam pada itu, SDA juga menerima karpet sumbangan dari sebuah Surau di Sungai Besi. Karpet tersebut turut dipasang pada hari berkenaan oleh ahli kariah yang hadir di bantu oleh pekerja Pak Akob. Karpet tersebut berjaya melitupi hampir keseluruhan surau dan sekaligus menambahkan keselesaan jemaah melakukan ibadah di bulan ramadhan ini.

Thursday, September 4, 2008

Terima Kasih Yang Tak Terhingga...



Sempena menyambut Ramadhan 1429H, pihak AJK Surau Desa Anggerik dengan ini secara rasminya ingin merakamkan ucapan jutaan Terima Kasih yang tidak terhingga kepada semua dermawan yang budiman yang telah sudi menyumbangkan wang ringgit dalam menjayakan kerja-kerja pengubahsuaian Surau Desa Anggerik. Begitu juga dengan ahli kariah yang bertungkus-lumus dalam menjayakan gotong-royong sempena Ramadhan pada 31 Ogos lalu. Diharapkan agar kerjasama ini akan berterusan pada masa akan datang.... Terima Kasih. Semoga usaha murni kita semua diganjari Allah SWT, hendaknya...Amin.

Salam Ramadhan1429H



Seluruh AJK KRTDA mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh umat Islam khususnya penghuni Desa Anggerik, Putra Nilai. Semoga ibadat kita dalam bulan Ramadhan tahun ini akan lebih mendapat keredhaan di sisi Allah, lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Selamat Berpuasa!

Monday, August 18, 2008

PENGUMUMAN PENTING



KEJOHANAN BADMINTON KRTDA 2008

SILA AMBIL PERHATIAN!!! VENUE KEJOHANAN BADMINTON TELAH DITUKAR KE DEWAN BBN (HADAPAN MAJLIS PERBANDARAN NILAI) BUKAN LAGI DI STADIUM TERTUTUP NILAI, SEPERTI YANG DIIKLANKAN, ATAS SEBAB-SEBAB YANG TIDAK DAPAT DIELAKKAN.
TARIKH DAN MASA TIDAK BERUBAH (24 OGOS 2008 JAM 8.00 PAGI HINGGA 5.00 PETANG) SILA WAW-WARKAN KEPADA RAKAN, JIRAN DAN KENALAN ANDA...PIHAK KRTDA MEMOHON MAAF DI ATAS SEBARANG KESULITAN..
Sekiranya anda tidak dapat hadir sila hubungi urusetia Azman (012-2158616) atau Sharif (012-2345475). Terima Kasih..

Wednesday, August 13, 2008

Surau Desa Anggerik Dalam Pembinaan




Surau Desa Anggerik (SDA), kini dalam proses pengubah suaian telah berada dalam tahap akhir (phase I). Kerja-kerja menaikkan dinding dan menyiapkan lantai dijangka berakhir menjelang Ramadhan awal bulan depan.





Pun begitu, pihak SDA terus membuka pintu bagi mana-mana dermawan yang prihatin untuk terus menyumbangkan derma dalam bentuk wang ringgit bagi meneruskan proses pengubahsuaian sehingga ke tahap akhir.


Dalam pada itu, beberapa program sempena Ramadhan akan diadakan oleh SDA iaitu pada tarikh 16 Ogos 2008. Berikut adalah maklumat berkaitan:

i) Selepas Solat Zohor di Desa Melati, jemputan ke Majlis Doa Selamat
(Saudara En. Kamaruddin)

ii) Bacaan Yassin sempena Nisfu Sya'ban selepas Maghrib

iii) Perjumpaan dengan Pelajar USIM selepas solat Isyak.
*program (ii & iii) diadakan di SDA

Jemaah SDA dijemput hadir.

Tuesday, August 12, 2008

Undian Kejohanan Badminton

Pada 10 Ogos jam 9.00 malam, bertempat di Bilik Gerakan KRTDA, undian kejohanan bagi menentukan pasangan dan kedudukan peserta Kejohanan Badminton KRTDA.
Jumlah penyertaan dalam kategori Junior dan Senior masing-masing berjumlah 40 peserta, manakala kategori wanita berjaya mengumpulkan seramai 12 peserta. Ini menjadikan jumlah penyertaan seramai 92 orang melepasi sasaran awal 52 peserta sahaja. Berikut adalah undian untuk kategori senior:
http://i278.photobucket.com/albums/kk101/nurfitrah_02/seniorchart.jpg

Untuk kategori junior:
http://i278.photobucket.com/albums/kk101/nurfitrah_02/juniorchart.jpg

Tuesday, August 5, 2008

'Renovation' Surau Desa Anggerik



Surau Desa Anggerik bakal mengalami sedikit penambah-besaran selama beberapa minggu dan kerja-kerja menaiktaraf ini dijangka selesai sebelum bermula Ramadhan nanti.


Lakaran di sebelah kiri menunjukkan kerja-kerja pembesaran ruan Solat Muslimat yang sekaligus menjadi permulaan kepada pembetulan ke arah Kiblat sebenar. Ruang berlorek menunjukkan kawasan yang terlibat dengan proses pembesaran peringkat 1 dan ruang dengan garisan putus-putus adalah perancangan jangka masa hadapan sekali gus menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan arah kiblat dan kedudukan Surau DA. Kerja-kerja ini telah dimulakan pada 5 Ogos 2008, oleh En. Syam.

Seorang Dermawan dari Desa Anggerik telah berbesar hati menyumbangkan sejumlah wang untuk tujuan di atas, dan Pihak AJK Surau Desa Anggerik terus mengalu-alukan kepada pihak yang bermurah hati untuk terus menyalurkan bantuan berbentuk wang dan buah fikiran. Sila berbuat demikian dengan menghubungi Pengerusi Surau , Tuan Syed di 012-3110674. Semoga niat suci kita semua dirahmati dan diberkati, Amin...

Bahang Kejohanan Badminton Kian Terasa



Kejohanan Badminton Terbuka KRTDA 2008 kini tinggal kurang 2 minggu. Penduduk Desa Anggerik yang telah mendaftar sebagai peserta kejohanan badminton dilihat mula berlatih meningkatkan stamina dan skil individu masing-masing untuk menghadapi kejohanan badminton buat julung-julung kali diadakan.

Kelmarin (4 Ogos 2008) bertempat di Dewan MPN, bermula jam 10.00 malam, kira-kira 20 orang penghuni Desa Anggerik dan pelajar USIM berkumpul untuk membuat latihan badminton secara beregu, untuk menggilap semula bakat dan skil yang hampir 'berkarat' dek zaman. Latihan bebas yang berakhir jam 12.00 tengah malam itu menunjukkan usia bukan penghalang, sekaligus menjadi asas ukuran bagi kejohanan sebenar nanti.

Bagi peserta kategori Lelaki Senior misalnya, latihan malam kelmarin membuktikan sentuhan mereka masih berbisa sekaligus melaungkan amaran agar kategori mereka nanti tidak dipandang sebelah mata. Chef Kadir umpamanya, mampu membuatkan lawannya berlari ke segenap gelanggang untuk mengembalikan bulu tangkis. Jelas, beliau bukan sahaja pakar di dapur, tetapi gerakan tangan yang mengenggam senduk dan sudip sesekali membuatkan lawan tercungap kepenatan, begitu juga En. Jamil, Haji Rahim, Pak Akob dan En. Abu.
Hakikatnya, kejohanan badminton pada 24 Ogos nanti adalah gelanggang yang sesuai untuk menguji dan melihat siapakah individu yang sebenarnya selama ini menyembunyikan skil badminton kerana peserta kategori Lelaki (bawah 40 tahun) yang berlatih juga tidak kurang hebatnya. Mereka yang beraksi malam tadi adalah, En. Mukhlis, En, Zaki, En. Zahari, En. Faiz, En. Sharif, Cikgu Alwi. En. Shashila, Pak Ya, En. Azman, dan beberapa lagi peserta termasuk pelajar USIM. Nantikan latihan bebas seterusnya yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian.

Sunday, July 27, 2008

Kempen Penjimatan Petrol



Biro Rekreasi, KRTDA hari ini (27 Julai 2008) melancarkan program penjimatan penggunaan petrol bagi ahli KRTDA bertempat di perkarangan Surau Desa Anggerik.

Seorang Mekanik khas dari Seremban mengendalikan proses pemasangan berasaskan penggunaan air bagi mengurangankan penggunaan petrol dalam enjin kenderaan. Caj dikenakan adalah hanya RM40.00 di mana RM10 disumbangkan oleh peserta kepada Surau Desa Anggerik dan KRTDA.


Dengan penggunaan sistem ini, dijangka pengunaan petrol mampu dijimatkan sehingga 30% disamping menambahkan lagi kuasa 'pick-up' kenderaan. Sebanyak 9 buah kenderaan yang telah dipasangkan dengan alat ini, program bermula jam 10.00 pagi dan berakhir pada 1.00 tengahari.
Encik Zahari yang turut memasang komponen tersebut pada enjin keretanya memberitahu bahawa terdapat perbezaan ketara dari segi prestasi enjin keretanya berbanding sebelum ini. Perasaan ini turut dikongsi oleh beberapa peserta lain yang turut berpuas hati dengan kosnya yang amat menjimatkan.

Biro Rekreasi, En. Muhlis memaklumkan bahawa seperti program ini berkemungkinan akan diteruskan lagi pada masa akan datang bergantung kepada permintaan ahli KRTDA.
"BERJIMAT SAMBIL BERAMAL"